doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Sabtu, 7 Oktober 2017

gua



*Muqaddimah*

Surah Al-Kahf (bahasa Arab:الكهف)

Erti : "Gua"

Nama lain Al Khaf    dan Ashabul Khaf (artinya Penghuni-Penghuni Gua)

Surah    Makkiyah

Surah ke        18

Juz        15 (ayat 1-74)

Juz 16 (ayat 75-110)

Jumlah ayat    110 ayat

Kedua nama ini diambil dari cerita yang terdapat dalam surah ini pada ayat 9 sampai dengan 26, tentang beberapa orang pemuda (The Seven Sleepers) yang tidur dalam gua bertahun-tahun lamanya.

  Selain cerita tersebut, terdapat pula beberapa cerita dalam surat ini, yang kesemuanya mengandungi i'tibar dan pelajaran yang berguna untuk kehidupan manusia.

  Terdapat beberapa hadits Rasulullah SAW yang menyatakan keutamaan membaca surah ini.



أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيطَانِ الرَّجِيْمِ

Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terkutuk.

بِسْمِ ٱللهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

🍄 Ayat 1 - 3 🍄
Al-Qur'an diturunkan untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan.

🌄  Ayat 1
*Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya Al-Kitab (Al-Qur'an) dan Dia tidak mengadakan kebengkokan di dalamnya,*

🌄 Ayat 2
*sebagai bimbingan yang lurus, untuk memperingatkan seksaan yang sangat pedih dari sisi-Nya dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal soleh, bahawa mereka akan mendapat pembalasan yang baik,*

🌄 Ayat 3
*mereka kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.*

🗻 Allah memulakan surah ini dengan memuji diri-Nya atas penurunan Al-Qur'an yang agung lagi jelas kepada rasul-Nya yang mulia, Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam. Kitab ini merupakan nikmat yang terbesar dianugerahkan kepada penduduk bumi untuk membimbing mereka daripada kegelapan kepada cahaya.

🗻 Al-Qur'an mengandungi peringatan tentang seksaan yang pedih kepada orang-orang yang ingkar dan menentang, manakala berita-berita gembira dengan balasan nikmat syurga yang kekal kepada orang-orang yang beriman.

🍄 Ayat 4 - 5 🍄
Pendustaan dan perkataan buruk yang keluar daripada mulut orang-orang musyrik.

🌄 Ayat 4
*Dan untuk memperingatkan kepada orang-orang yang berkata: “Allah mengambil seorang anak.”*

🌄 Ayat 5
*mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang hal itu, begitu pula nenek moyang mereka. Alangkah buruknya kata-kata yang keluar daripada mulut mereka, mereka tidak mengatakan (sesuatu) kecuali dusta.*

🗻 Dalam Tafsir Ibnu Kathir, ayat ini berkaitan dengan orang-orang musyrik Arab yang mengatakan mereka menyembah malaikat yang mereka sifatkan sebagai anak-anak perempuan Allah. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka perkatakan.
🗻 Inilah perkataan buruk yang keluar daripada mulut mereka dan betapa besarnya pendustaan mereka terhadap Allah. Sesungguhnya pendustaan ini diwarisi daripada nenek moyang mereka tanpa berdasarkan ilmu.

🍄 Ayat 6 🍄
Perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak bersedih kerana orang-orang musyrik tidak beriman.

🌄  Ayat 6
*Maka barangkali engkau (Muhammad) akan membinasakan dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al-Qur'an).*

🗻 Ayat ini sebagai penghibur hati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang sedang bersedih kerana orang-orang musyrik tidak mahu beriman dengan Al-Qur'an dan menjauhi baginda. Firman Allah dalam ayat yang lain:

📖 *_"Boleh jadi engkau (Muhammmad) akan membinasakan dirimu (dengan kesedihan), kerana mereka (penduduk Mekah) tidak beriman."_*
[Surah Asy-Syu‘ara', 26:3]

🗻 Dalam Tafsir Ibnu Kathir ada dinyatakan bahawa apa yang dimaksudkan oleh Qatadah dan Mujahid tentang ayat ini ialah Allah Ta‘ala memerintahkan baginda supaya tidak bersedih terhadap orang-orang musyrik yang tidak mahu menerima Al-Qur'an, sebaliknya terus menyampaikan risalah-Nya. Ini kerana sesiapa yang mengikuti petunjuk, maka petunjuk itu adalah untuk dirinya sendiri dan sesiapa yang tersesat, maka sesungguhnya dia sendiri yang menyesatkan dirinya.

🍄 Ayat 7 - 8 🍄
Dunia adalah tempat ujian.

🌄 Ayat 7
*Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka, siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya.*

🗻 Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberitahu bahawa Dia menjadikan dunia ini dan segala hiasan yang ada padanya tidak kekal. Dia juga menjadikan dunia sebagai tempat ujian untuk mengetahui siapa yang terbaik amalannya.

🌄  Ayat 8
*Dan Kami benar-benar akan menjadikan (pula) apa yang di atasnya menjadi tanah yang rata lagi tandus.*

🗻 Allah Ta‘ala menerangkan bahawa dunia yang telah dihiasi-Nya ini akan musnah dengan menjadikan permukaan bumi itu rata dan kering serta tidak dapat dimanfaatkan.



🍄 Ayat 9 - 12 🍄
 Kisah As-habul Kahf.

🌄 Ayat 9
*Apakah kamu mengira bahawa orang yang mendiami gua dan (yang mempunyai) raqim itu, termasuk tanda-tanda (kebesaran) Kami yang menakjubkan?*

🗻 Ayat ini menceritakan kisah pemuda As-habul Kahf. Allah memberitahu bahawa kisah mereka itu bukanlah sesuatu yang menakjubkan jika dibandingkan dengan besarnya kekuasaan-Nya yang lain seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat-Nya yang agung dalam Al-Qur'an, iaitu tentang penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, penundukan matahari, bulan dan bintang-bintang yang menunjukkan kebesaran-Nya. Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu yang dikehendaki-Nya dan tidak ada sesuatu pun yang dapat melemahkan-Nya.

🗻 Al-Kahf ialah gua di gunung yang dijadikan sebagai tempat berlindung oleh para pemuda tersebut. Sedangkan raqim, menurut Al-‘Aufi daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma, adalah sebuah lembah berdekatan kota Ailah.

🌄 Ayat 10
*(Ingatlah) ketika pemuda-pemuda itu berlindung di dalam gua lalu mereka berdoa: "Ya Rabb kami. Berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami."*

🗻 Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyatakan bahawa para pemuda itu melarikan diri ke dalam gua di pergunungan untuk menyelamatkan agama mereka.

🗻 Ketika memasuki gua, para pemuda ini memohon kepada Allah supaya diberi rahmat dan disempurnakan petunjuk yang lurus kepada mereka.

🌄 Ayat 11
*Maka Kami tutup telinga mereka di dalam gua itu selama beberapa tahun,*

🌄 Ayat 12
*kemudian Kami bangunkan mereka, agar Kami mengetahui, manakah antara kedua golongan itu yang lebih tepat dalam menghitung berapa lamanya mereka tinggal (di dalam gua itu).*

🗻 Allah Subhanahu wa Ta‘ala membuatkan mereka tidur bertahun-tahun lamanya ketika berada di dalam gua dan kemudian Allah bangunkan mereka daripada tidur mereka itu.

🗻 Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa ada dua golongan yang berbeza pendapat tentang berapa lama mereka tinggal di dalam gua, berapa jumlah para pemuda tersebut dan berapa lama mereka ditidurkan.

🍄 Ayat 13 - 16 🍄
Keteguhan keimanan pemuda-pemuda As-habul Kahf dan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada mereka.

🌄 Ayat 13
*Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Rabb mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk,*

🗻 Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberitahu bahawa kisah As-habul Kahf yang mencari tempat perlindungan itu adalah suatu kisah yang benar-benar terjadi. Dia juga menyatakan bahawa mereka ini terdiri daripada orang-orang muda yang mahu menerima kebenaran dan lebih lurus jalan mereka daripada golongan tua yang tenggelam dalam agama yang batil. Hal ini sama keadaannya dengan orang-orang Quraisy kerana pada masa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menyampaikan risalah-Nya ramai daripada golongan muda yang menerima kebenaran dan golongan tua menolak. Allah menambahkan lagi petunjuk kepada As-habul Kahf bagi menguatkan keimanan mereka.

🗻 Dalam Tafsir Ibnu Kathir, Imam Al-Bukhari dan beberapa orang lagi imam menyatakan ayat 'Dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk,' adalah dalil bahawa iman itu boleh bertambah dan berkurang serta mempunyai tingkatannya. Firman Allah dalam ayat-ayat yang lain:

📖 *_"Dan orang-orang yang mendapat petunjuk, Allah akan menambah petunjuk kepada mereka dan menganugerahi ketakwaan mereka."_*
[Surah Muhammad, 47:17]

📖 *_“Adapun orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya, sedang mereka berasa gembira.”_*
[Surah At-Taubah, 9:124]

🌄 Ayat 14
*dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata: "Rabb kami adalah Rabb langit dan bumi, kami sekali-kali tidak menyeru ilah selain Dia. Sesungguhnya kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh daripada kebenaran.*

🌄 Ayat 15
*Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai ilah-ilah (untuk disembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang jelas (tentang kepercayaan mereka)? Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?*

🗻 Allah meneguhkan hati mereka ketika berdiri di hadapan pemimpin dan raja yang kafir dengan mengatakan mereka tidak akan sekali-kali menyembah selain Allah. Sekiranya mereka beribadah kepada selain-Nya, sesungguhnya mereka telah berdusta terhadap kebenaran dan menzalimi diri mereka sendiri.

🗻 Pemuda-pemuda itu juga mempersoalkan tentang dakwaan kaum musyrik yang menjadikan tuhan selain Allah untuk disembah tanpa memberikan alasan dan bukti untuk menguatkan hujah mereka.

🗻 Allah menyatakan bahawa tiada perbuatan yang lebih zalim daripada membuat pembohongan terhadap diri-Nya iaitu menjadikan tuhan-tuhan selain-Nya sebagai sekutu.

🌄 Ayat 16
*Dan apabila kamu meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka carilah tempat berlindung ke dalam gua itu, nescaya Rabbmu akan melimpahkan sebahagian rahmat-Nya kepadamu dan menyediakan sesuatu yang berguna bagimu dalam urusanmu.*

🗻 Allah mengilhamkan para pemuda itu dengan melarikan diri ke gua, meninggalkan kaum mereka yang kufur dan kesyirikan mereka. Allah meluaskan rahmat-Nya dengan memudahkan urusan mereka serta memberikan keamanan kepada mereka. Diri dan agama mereka terselamat daripada fitnah atau pembunuhan ketika berlindung di dalam gua.

🗻 Sesungguhnya Allah akan melindungi hamba-hamba-Nya yang bergantung dan mencari perlindungan daripada-Nya. Dalam Tafsir Ibnu Kathir, diceritakan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersama sahabatnya, Abu Bakar As-Siddiq ketika baginda berlindung ke gua Tur. Lalu beberapa orang musyrik Quraisy daripada kaum Quraisy datang untuk mencari baginda, namun mereka tidak menemukan baginda dan juga Abu Bakar, padahal mereka telah melalui tempat persembunyian itu. Di gua itu Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda ketika baginda melihat kesedihan Abu Bakar melalui ucapannya, “Ya Rasulullah, seandainya salah seorang daripada mereka ada yang melihat ke tempat bawah kakinya, nescaya dia akan melihat kita. Maka baginda pun bersabda: “Wahai Abu Bakar, bagaimana menurutmu jika ada dua orang dan yang ketiganya adalah Allah?”

📖 *_“Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad), maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika orang-orang kafir (kaum musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang daripada dua orang ketika keduanya berada dalam gua, pada waktu dia berkata kepada sahabatnya, janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.’ Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah, dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”_*
[At-Taubah, 9:40]

🗻 Kisah Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan sahabatnya di gua Tur ini lebih mulia, lebih besar, lebih agung dan lebih menakjubkan daripada kisah As-habul Kahf.



🍄 Ayat 17 - 18 🍄
Kedudukan gua dan keadaan As-habul Kahf ketika berada di dalamnya.

🌄 Ayat 17 
*Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan, dan bila matahari terbenam, menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas di dalam (gua) itu. Itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah. Barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk, dan barang siapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapat seorang penolong yang dapat memberi petunjuk kepadanya.*

🗻 Dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa pintu gua itu menghadap ke arah utara, kerana ketika cahaya matahari pagi masuk ke dalamnya, bayang condong ke arah kanan.

🗻 Allah tidak menyebutkan di mana gua itu berada kerana tidak ada faedahnya bagi kita untuk mengetahuinya dan tidak ada kaitannya dengan tujuan syariat.

🗻 Allah telah mengilhamkan mereka bersembunyi di dalam gua tersebut supaya mereka terus hidup. Gua yang luas dan peredaran udara yang baik dalam gua tersebut menyebabkan tubuh mereka tetap terpelihara.
🗻 Dalam Tafsir Ibnu Kathir, Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma berkata, mereka tidur di bahagian yang luas dalam gua itu dan terhindar daripada kepanasan matahari. Ini kerana seandainya cahaya matahari mengenai tubuh mereka, tentulah panas yang terik akan membakar tubuh dan pakaian mereka.

🗻 Sesungguhnya orang yang diberi petunjuk oleh Allah, dialah yang mendapat petunjuk dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada seorang pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.

🌄 Ayat 18 
*Dan kamu mengira mereka itu tidak tidur, padahal mereka tidur dan Kami bolak-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka menjulurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling daripada mereka dengan melarikan (diri) dan pasti kamu akan dipenuhi rasa takut terhadap mereka.

🗻 Dalam Tafsir Ibnu Kathir, sebahagian ulama' menyebutkan bahawa ketika mereka tidur, mata mereka tidak tertutup tetapi sentiasa terbuka bagi tujuan pengudaraan.

🗻 Dalam Tafsir Ibnu Kathir juga, Ibnu ‘Abbas, Mujahid, Qatadah dan Ibnu Juraij radhiallahu ‘anhum menyatakan bahawa anjing itu duduk menjaga mereka di hadapan pintu gua.

🗻 Allah mengadakan perkara-perkara yang menakutkan untuk melindungi mereka ketika tidur. Ini bertujuan tidak ada seorang pun yang mendekati dan menyentuh mereka sehingga tiba waktu yang dikehendaki-Nya itu berakhir. Hal ini terdapat hikmah, hujjah yang kuat dan rahmat yang sangat luas.

 🍄 Ayat 19 - 20 🍄
Allah Subhanahu wa Ta‘ala membangunkan mereka daripada tidur yang panjang.

🌄 Ayat 19
*Dan demikianlah Kami bangunkan mereka (daripada tidur) agar mereka saling bertanya sesama mereka. Salah seorang di antara mereka bertanya: "Sudah berapa lama kamu berada (di sini)?" Mereka menjawab: "Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari." Berkata (yang lain lagi): “Rabbmu lebih mengetahui berapa lama kamu berada (di sini). Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik, maka hendaklah dia membawa makanan itu untukmu, dan hendaklah dia berlemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan halmu kepada sesiapa pun.*

🗻 Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa mereka dibangunkan dalam keadaan yang tidak berubah sebagaimana sebelum mereka ditidurkan walaupun selepas tiga ratus sembilan tahun berlalu. Firman Allah:

📖 *_“Dan mereka tinggal dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun (lagi)._*
[Surah Al-Kahf, 18:25]

🗻 Mereka saling bertanya berapa lama mereka tertidur. Ada di antara mereka yang berkata bahawa lamanya sehari atau setengah hari. Kemudian seorang lagi menjawab bahawa Allah yang lebih mengetahui apa yang telah berlaku.

🗻 Kemudian salah seorang daripada mereka diminta agar pergi ke bandar untuk membeli makanan yang halal. Pemuda tersebut dinasihatkan supaya bersikap lemah lembut semasa dalam perjalanan pergi dan balik serta semasa hendak membeli supaya tiada sesiapa pun yang mengesyaki mereka.

🌄 Ayat 20
*Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, nescaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian, nescaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya."*

🗻 Para pemuda tersebut bimbang sekiranya tempat persembunyian mereka diketahui oleh para pemimpin dan kaum mereka, tentu mereka akan diseksa berterusan sehingga kembali syirik kepada Allah. Jika mereka kembali syirik, mereka tidak akan mendapat apa-apa keuntungan baik di dunia atau pun di akhirat.



🍄 Ayat 21 🍄
Penduduk kota dipertemukan dengan para pemuda As-habul Kahf dan mereka mendirikan bangunan di atas gua sebagai kenangan.

🌄 Ayat 21
*Dan demikian (pula) Kami mempertemukan (manusia) dengan mereka, agar manusia mengetahui, bahawa janji Allah itu benar, dan bahawa (kedatangan) hari kiamat tidak ada keraguan padanya. Ketika orang-orang itu berselisih tentang urusan mereka maka orang-orang itu berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di atas (gua) mereka, Rabb mereka lebih mengetahui tentang mereka." Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka berkata: "Kami pasti akan mendirikan sebuah rumah ibadah di atasnya."*

🗻 Dalam ayat ini, Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberitahu bahawa Dia memperlihatkan para pemuda itu kepada penduduk kota agar manusia mengetahui bahawa janji Allah itu benar dan kiamat pasti akan terjadi. Lebih daripada seorang ulama' terdahulu menyebutkan bahawa manusia pada masa itu meragukan adanya kebangkitan dan hari kiamat.

🗻 Dalam Tafsir Ibnu Kathir dinyatakan, ‘Ikrimah berkata, sekumpulan orang di antara penduduk kota itu mengatakan: "Ruh-ruh akan dibangkitkan, tetapi jasad-jasad tidak akan dibangkitkan." Oleh itu Allah membangkitkan penghuni gua itu sebagai hujjah, dalil dan tanda kekuasaan Allah tentang hal itu.

🗻 Sesungguhnya janji Allah itu benar iaitu manusia akan dibangkitkan jasad bersama-sama ruh mereka. Dia akan membangkitkan semua manusia selepas kematian pada hari kiamat untuk dihisab dan dibalas segala amal perbuatan mereka.

🗻 Kemudian penduduk negeri itu menyarankan supaya pintu gua tersebut ditutup dan para pemuda itu dibiarkan begitu sahaja kerana Rabb mereka lebih mengetahui tentang mereka. Orang-orang yang memiliki pengaruh ketika itu seterusnya mengatakan bahawa mereka akan mendirikan sebuah rumah ibadah di atasnya.

🍄 Ayat 22 🍄
Jumlah para pemuda As-habul Kahf.

 🌄  Ayat 22
*Nanti (ada orang yang akan) mengatakan: "(Jumlah mereka) tiga (orang), yang keempat adalah anjingnya," dan (yang lain) mengatakan: "(Jumlah mereka) lima (orang), yang keenam adalah anjingnya," sebagai tekaan terhadap yang ghaib dan (yang lain lagi) mengatakan: "(Jumlah mereka) tujuh (orang), yang kelapan adalah anjingnya." Katakanlah (Muhammad): "Rabbku lebih mengetahui jumlah mereka, tidak ada yang mengetahui (bilangan) mereka kecuali sedikit." Kerana itu janganlah engkau (Muhammad) berbantah tentang hal itu, kecuali perbantahan zahir saja, dan janganlah engkau menanyakan tentang mereka (pemuda-pemuda itu) kepada siapa pun di antara mereka.*

🗻 Dalam ayat di atas, Allah mengatakan bahawa ada antara mereka yang meneka-neka tentang masalah ghaib tanpa berdasarkan ilmu. Dia mengatakan bahawa hanya sedikit sahaja manusia yang mengetahui jumlah sebenar bilangan pemuda tersebut dan hendaklah mengembalikan pengetahuan kepada-Nya sebab dalam perkara seperti ini, tidak perlu pada banyak pembicaraan tanpa ilmu.

🗻 Dalam Tafsir Ibnu Kathir dinyatakan bahawa Qatadah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma, dia berkata: "Aku termasuk yang sedikit yang dikecualikan oleh Allah dan yang benar, mereka berjumlah tujuh orang." Begitu juga yang diriwayatkan oleh Ibnu Juraij daripada ‘Ata' Al-Khurasani serta Ibnu Jarir iaitu kesemua periwayatannya sahih hingga Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma, bahawa jumlah pemuda tersebut adalah tujuh orang.

🗻 Allah menasihati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam agar tidak berdebat dengan Ahli Kitab dalam urusan As-habul Kahf melainkan debat yang jelas dengan menceritakan apa yang telah Dia ceritakan kepadanya tanpa mendustai dan juga tidak menyetujui mereka. Ini kerana ahli Kitab tidak mengetahui jumlah bilangan sebenar pemuda As-habul Kahf, mereka mengatakan berdasarkan tekaan tanpa ilmu.

🍄 Ayat 23 - 24 🍄
Ucapan insya Allah ketika bertekad untuk melakukan sesuatu tindakan.

🌄  Ayat 23
*Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: "Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi,*

🌄  Ayat 24
*kecuali (dengan menyebut): ‘Insya Allah.’ Dan ingatlah kepada Rabbmu jika kamu lupa dan katakanlah: ‘Mudah-mudahan Rabbku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini.’"*

🗻 Ini merupakan bimbingan adab kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam tentang sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan pada masa yang akan datang, hendaklah baginda mengembalikan hal itu kepada kehendak Allah yang Maha Perkasa, Maha Mulia lagi Maha Mengetahui.

🗻 Mengikut pendapat Muhammad Ibnu Ishaq, daripada ‘Ikrimah, daripada ‘Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma, sebab turun ayat ini, ialah dalam sabda Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam ketika baginda ditanya tentang tiga perkara, antaranya ialah kisah As-habul Kahf, baginda menjawab “Akan aku berikan jawapan kepada kamu esok.” Lalu wahyu lambat turun sehingga hari ke lima belas.

🗻 Firman Allah Ta‘ala: “Dan ingatlah kepada Rabb-mu jika kamu lupa.” Ada yang mengatakan ertinya, jika kamu lupa mengucapkan pengecualian (insya Allah), maka berikanlah pengecualian pada saat ketika kamu mengingatinya. Demikianlah yang dikemukakan oleh Abul ‘Aliyah dan al-Hasan al-Basri.

🗻 Allah Ta‘ala menerangkan jika ada orang yang lupa akan sesuatu dalam ucapannya hendaklah segera mengingati-Nya, kerana lupa itu disebabkan oleh syaitan. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh seorang anak muda kepada Nabi Musa ‘alaihis salam: “Dan tidak ada yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan.” [Al-Kahf, 18:63] Allah mengingatkan agar mengusir syaitan. Jika syaitan itu telah pergi, lupa itu pun lenyap. Oleh sebab itu, Dia berfirman: “Dan ingatlah kepada Rabb-mu jika kamu lupa.”

🗻 Firman Allah: “Dan katakanlah: ‘Mudah-mudahan Rabbku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini.’” adalah arahan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam iaitu jika baginda ditanya tentang sesuatu yang tidak ketahui, hendaklah baginda memohon kepada Allah Ta‘ala agar Dia memberi taufik untuk memperoleh kebenaran dan juga petunjuk berkenaan hal tersebut.



🍄 Ayat  25 - 26 🍄
Tempoh mereka tinggal di dalam gua.

 🌄  Ayat 25
*Dan mereka tinggal dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun (lagi).*

🗻 Dalam ayat ini Allah Ta‘ala memberitahu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam tentang berapa lama As-habul Kahf ditidurkan dan kemudian dibangunkan kembali dan Dia mempertemukan mereka dengan orang-orang yang hidup pada zaman itu. Dinyatakan  bahawa tempoh mereka hidup di dalam gua adalah tiga ratus tahun menurut hitungan matahari yang ditambah lagi dengan sembilan tahun menurut hitungan bulan. Perbezaan antara tahun bulan dengan tahun matahari dalam seratus tahun adalah tiga tahun. Oleh sebab itu Allah menyatakan 'tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun lagi.'

🌄 Ayat 26 *Katakanlah: “Allah lebih mengetahui berapa lamanya mereka tinggal (di gua), kepunyaan-Nya-lah semua yang tersembunyi di langit dan di bumi. Alangkah terang penglihatan-Nya dan alangkah tajam pendengaran-Nya, tidak ada seorang pelindung pun bagi mereka selain daripada-Nya dan Dia tidak mengambil seorang pun menjadi sekutu-Nya dalam menetapkan keputusan.”*

🗻 Allah lebih mengetahui berapa lama mereka tinggal di dalam gua tersebut. Firman-Nya: "Kepunyaan-Nya-lah semua yang tersembunyi di langit dan di bumi" bermaksud tidak ada yang mengetahui hal itu kecuali Allah Ta‘ala dan orang yang diberitahu oleh-Nya.

🗻 Allah yang mempunyai hak mencipta dan memerintah dan tidak ada yang boleh engkar terhadap semua hukum-Nya. Allah tidak mempunyai pembantu, sekutu dan penasihat bagi-Nya. Allah Maha Tinggi dan Maha Suci daripada segala kekurangan.

🍄 Ayat 27- 28  🍄
Perintah membaca Al-Qur'an dan bersabar bersama orang-orang yang beriman.

 🌄 Ayat 27
*Dan bacakanlah apa yang diwahyukan kepadamu, iaitu Kitab Rabbmu (Al-Qur'an). Tidak ada (seorangpun) yang dapat mengubah kalimah-kalimah-Nya. Dan kamu tidak akan menemukan tempat berlindung selain-Nya.*

🗻 Allah Ta‘ala memerintah Rasul-Nya membaca Kitab-Nya yang mulia serta menyampaikan kepada umat. Tidak ada yang dapat mengubah, menyelewengkan atau mengalihkan maknanya.

🗻 Ibnu Jarir radhiallahu ‘anhu menafsirkan bahagian akhir ayat sebagai satu amaran iaitu: “Jika engkau, wahai Muhammad, tidak membaca apa yang telah Aku wahyukan kepadamu daripada Kitab Rabbmu, maka tidak ada tempat berlindung bagimu daripada Allah Ta‘ala.”

🌄 Ayat 28 
*Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Rabbnya pada waktu pagi dan petang dengan mengharap keredhaan-Nya dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.*

🗻  Ayat ini turun berkaitan dengan orang-orang terhormat daripada kalangan kaum Quraisy meminta kepada baginda untuk duduk bersama mereka dalam majlis khas dan tidak mengajak para sahabatnya yang lemah, seperti Bilal, ‘Ammar, Shuhaib, Khabbab dan Ibnu Mas‘ud radhiallahu ‘anhum. Allah melarang baginda memenuhi permintaan tersebut sebagaimana firman-Nya:

📖 *_“Dan janganlah kamu mengusir orang-orang yang menyeru Rabbnya pada pagi hari dan pada petang hari.”_*
[Surah Al-An‘am, 6:52]

 🗻 Sebaliknya, Allah menyuruh baginda bersabar dan duduk bersama mereka.

📚 Hadith riwayat Muslim, daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas, dia bercerita: Kami enam orang pernah bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Lalu kaum musyrik berkata kepada baginda, “Usirlah mereka. Mereka tidak akan berani melawan kami.” Kemudian Sa‘ad berkata: Ketika itu aku bersama Ibnu Mas‘ud radhiallahu ‘anhu serta seseorang dari Huzail, Bilal dan dua orang yang aku lupa namanya. Maka timbullah dalam diri Rasulullah apa yang telah menjadi kehendak Allah, lalu baginda berbicara pada diri sendiri. Hingga akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya iaitu Surah Al-An‘am, 6:52 seperti yang disebutkan di atas.

🍄 Ayat 29 🍄
Kebenaran itu daripada Allah Ta‘ala, dan balasan terhadap orang-orang yang kufur kepada-Nya.

 🌄  Ayat 29
*Dan katakanlah, "Kebenaran itu datangnya daripada Tuhanmu, maka barangsiapa yang ingin (beriman), hendaklah dia beriman dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah dia kafir.” Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirehat yang paling buruk.*

🗻 Allah memberitahu Rasul-Nya: "Katakanlah wahai Muhammad kepada umat manusia, apa yang aku bawa kepada kamu daripada Rabb kamu adalah kebenaran yang tidak terdapat keraguan di dalamnya."

🗻 Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma menghuraikan keadaan air dalam neraka sebagai “air kental yang mendidih, seperti mendapan minyak.” Mujahid pula mengatakan, “seperti darah dan nanah.”

🗻 Manakala menghanguskan wajah bermaksud ketika orang-orang kafir berkeinginan untuk meminumnya dan mereka mendekatkan air itu ke wajah, lalu wajah mereka itu menjadi hangus dan menggelupas.

 🗻 Air tersebut dikatakan seburuk-buruk minuman seperti  firman Allah yang lain:

📖 *_“......Dan mereka diberi minum dengan air yang mendidih sehingga terpotong-potong ususnya.”_*
[Surah Muhammad, 47:15]

🗻 Neraka merupakan seburuk-buruk tempat istirehat bagi orang-orang yang zalim sebagaimana firman Allah:

📖 *_“Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.”_*
[Surah Al-Furqan, 25:66]


🍄 Ayat 30 - 31 🍄
Ganjaran syurga kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

🌄 Ayat 30
*Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan baik.*

🌄 Ayat 31
*Mereka itulah (orang-orang yang) bagi mereka syurga ‘Adn, mengalir sungai-sungai di bawahnya, dalam syurga itu mereka dihiasi dengan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau daripada sutera halus dan sutera tebal, sedang mereka duduk sambil bersandar di atas dipan-dipan yang indah. Itulah sebaik-baik pahala, dan tempat istirehat yang indah,*

🗻 Dalam ayat sebelumnya Allah Ta‘ala menceritakan keadaan orang-orang yang ingkar, dalam ayat di atas pula Dia menceritakan keadaan orang-orang yang bahagia.

🗻 Orang-orang yang beriman kepada Allah dan membenarkan apa yang dibawa oleh para rasul serta mengerjakan apa yang diperintahkan kepada mereka, bagi mereka syurga ‘Adn yang mengalir sungai-sungai di bawahnya.

🗻 Allah juga menceritakan perhiasan yang akan mereka perolehi ialah gelang emas sebagaimana firman-Nya:

📖 *_“Di syurga itu mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang daripada emas dan mutiara, dan pakaian mereka adalah sutera."_*
[Surah Al-Hajj, 22:23]

🗻 Allah Ta‘ala menjelaskan lagi keadaan mereka di syurga dengan perkataan "sundus" yang bermaksud sutera halus iaitu pakaian yang halus lagi nipis. manakala "istabraq" merupakan pakaian yang diperbuat daripada sutera tebal yang berkilauan.

🗻 Lafaz "al-ittika'" dalam ayat “Sedang mereka duduk sambil bersandar di atas dipan-dipan yang indah,” ada yang berpendapat 'idhthija' bermaksud berbaring, dan ada pula yang berpendapat duduk bersila. Pendapat mengatakan bersila serupa dengan maksud hadis sahih di bawah ini:

📚 *_“Adapun aku, tidak makan sambil duduk dengan cara bersandar (seperti bersandar ke salah satu tangan).”_*
[Syarah Riadhus Solihin]

🗻 Manakala maksud perkataan 'dipan-dipan' dalam ayat di atas ialah katil di bilik pengantin. Ada juga dimaksudkan di bawah kain hiasan. Wallahu a‘lam.

🗻 Syurga adalah sebaik-baik pahala atas amal perbuatan mereka, dan merupakan tempat tinggal yang terbaik dan terindah.
Semoga Allah memasukkan kita semua ke dalam golongan mereka yang diberi nikmat. Allahumma amin!

 🍄 Ayat 32 - 36 🍄
Perumpamaan bagi dua orang lelaki iaitu lelaki Musyrik yang kaya dan lelaki Muslim yang miskin.

🌄  Ayat 32
*Dan berikanlah kepada mereka sebuah perumpamaan dua orang lelaki, Kami jadikan bagi seorang di antara keduanya (yang kafir) dua buah kebun anggur dan kami kelilingi kedua-dua kebun itu dengan pohon-pohon kurma dan di antara kedua-dua kebun itu Kami buatkan ladang.*

🌄  Ayat 33
*Kedua-dua kebun itu menghasilkan buahnya, dan kebun itu tiada kurang buahnya sedikit pun, dan Kami alirkan sungai di celah-celah kedua kebun itu,*

  🌄 Ayat 34
*dan dia mempunyai kekayaan besar, maka dia berkata kepada kawannya (yang mukmin) ketika dia bercakap-cakap dengannya: ‘Hartaku lebih banyak daripada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat.’*

🗻 Dalam ayat yang lalu, Allah Ta‘ala menceritakan sikap orang-orang musyrik yang sombong lagi enggan untuk duduk bersama-sama kaum muslimin yang lemah dan miskin, serta membanggakan diri mereka dengan harta kekayaan dan kedudukan mereka. Dalam ayat di atas pula Allah Ta‘ala memberikan perumpamaan kepada dua orang lelaki yang beriman dan kufur.

🗻 Salah seorang daripada mereka diberi oleh Allah Ta‘ala dua buah kebun anggur yang dikelilingi pohon-pohon kurma. Di celah-celah kebun-kebun tersebut terdapat ladang. Kesemua pohon dan tanaman dipenuhi dengan buah-buahan yang sangat menyenangkan. Dalam kebun-kebun tersebut terdapat sungai-sungai di sana sini.

🗻 Pemilik yang mempunyai kebun-kebun itu berkata kepada kawannya yang seorang lagi, pada ketika itu dia sedang berdebat sambil membanggakan dirinya kerana berasa dia mengungguli kawannya dengan mengatakan bahawa dia mempunyai ramai pembantu, pengikut dan juga anak.

🌄 Ayat 35
*Dan dia memasuki kebunnya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri; dia berkata: ‘Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya,*

🌄  Ayat 36
*dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan datang, dan sekiranya aku dikembalikan kepada Rabbku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun itu.’*

🗻 Lelaki itu memasuki kebunnya dengan kekafiran, keingkaran, kesombongan, keengganan, serta penolakannya terhadap adanya hari kiamat sambil berkata bahawa kebunnya itu tidak akan binasa selama-lamanya. Perkataan itu menunjukkan bahawa dirinya tertipu, kerana dia menyaksikan dalam kebun tersebut terdapat pelbagai tanaman, buah-buahan, pepohonan, dan sungai-sungai yang mengalir di sekelilingnya. Dia menyangka bahawa kebun itu tidak akan hancur, rosak dan binasa. Hal ini disebabkan oleh ceteknya pemikiran dan lemahnya keyakinan kepada Allah, serta kebanggaan dirinya terhadap kehidupan dan perhiasan dunia serta kekafirannya terhadap alam akhirat.

 🗻 Dia berkata lagi, sekiranya memang akan ada tempat kembalinya kepada Allah Ta‘ala, nescaya dia akan memperoleh bahagian kekayaan dan tempat di sisi Rabbnya yang lebih baik daripada kebun itu. Seandainya bukan kerana kemuliaannya di sisi-Nya, nescaya Dia tidak akan memberikan semua ini kepadanya. Sikap manusia seperti ini diterangkan lagi dalam firman-firman-Nya yang lain:

📖 *_“....dan sekiranya aku dikembalikan kepada Rabbku, maka sesungguhnya aku akan memperoleh kebaikan di sisi-Nya.....”_*
[Surah Fussilat, 41:50]

📖 *_"Maka apakah kamu telah melihat orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami dan dia mengatakan, 'Pasti aku akan diberi harta dan anak.'”_*
[Surah Maryam, 19:77]


🍄 Ayat 37 - 41 🍄
 Jawapan orang Mukmin yang miskin.

🌄 Ayat 37
*Kawannya (yang Mukmin) berkata kepadanya sedang dia bercakap-cakap dengannya: ‘Apakah kamu kafir kepada (Rabb) yang menciptakanmu daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani, lalu Dia menjadikanmu seorang lelaki yang sempurna?*

🗻 Allah menceritakan jawapan yang diberikan oleh orang yang beriman iaitu dengan memberikan nasihat kepada kawannya itu serta mengecam kekafiran dan kesombongannya kepada Allah.

🗻 Maksud "Apakah kamu kafir kepada Rabb yang menciptakanmu daripada tanah?” ialah satu penolakan terhadap temannya dan sebagai pengagungan terhadap Allah ketika terjadi pengingkaran dalam dirinya terhadap Rabbnya yang telah menciptakannya dan memulai penciptaan manusia daripada tanah, iaitu Nabi Adam ‘alaihis salam, lalu Dia ciptakan keturunannya daripada setitis air mani yang hina (jijik).

🗻 Sesungguhnya tidak ada satu pun makhluk melainkan dia mengetahui bahawa sebelumnya dia tidak ada dan kemudian ada. Keberadaannya bukan oleh dirinya sendiri, dan juga bukan disandarkan kepada makhluk lainnya, kerana segala sesuatu itu sama kedudukannya seperti dirinya. Maka dia mengetahui, bahawa keberadaannya itu harus dia sandarkan kepada yang menciptanya, iaitu Allah yang tiada Ilah (yang berhak diibadahi) selain Dia, pencipta segala sesuatu.

🌄 Ayat 38
*Tetapi aku (percaya bahawa): Dialah Allah, Rabbku, dan aku tidak mempersekutukan seorang pun dengan Rabbku.*

🗻 Orang yang beriman itu mengakui keesaan Allah dan dia mengakui Allah, satu-satunya sembahan, yang tiada sekutu bagi-Nya.

🌄  Ayat 39
*Dan mengapa kamu tidak mengucapkan tatkala kamu memasuki kebunmu: ‘Ma sya Allah, la quwwata illa billah’ (Sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Sekiranya kamu anggap aku lebih sedikit daripadamu dalam hal harta dan keturunan,*

🗻 Ayat ini merupakan anjuran untuk mengucapkan ungkapan tersebut iaitu jika kebun itu membuatmu bangga ketika kamu memasukinya dan kamu melihatnya, maka panjatkanlah pujian kepada Allah atas nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepadamu dan Dia telah memberimu harta kekayaan dan juga keturunan yang tidak diberikan kepada selain dirimu. Dan hendaknya kamu mengucapkan: “Ma sya Allah, la quwwata illa billah.”

🗻 Oleh sebab itu, sebahagian ulama Salaf mengemukakan: “Sesiapa yang berasa bangga atas keadaan, kekayaan, atau keturunannya sendiri, maka hendaklah dia mengucapkan: ‘Ma sya Allah, la quwwata illa billah.’”

🗻 Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Musa, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda kepadanya:

📚 “Mahukah kamu aku tunjukkan salah satu daripada beberapa perbendaharaan syurga? Iaitu kalimah, La haula wala quwwata illa billah (tiada daya dan tiada upaya melainkan hanya dengan pertolongan Allah).”

🌄  Ayat 40
*maka mudah-mudahan Rabbku, akan memberi kepadaku (kebun) yang lebih baik daripada kebunmu (ini); dan mudah-mudahan Dia mengirimkan ketentuaan (petir) dari langit kepada kebunmu, hingga (kebun itu) menjadi tanah yang licin,*

🗻  Kebun yang lebih baik bermaksud di alam akhirat. Ibnu ‘Abbas, adh-Dhahhak, Qatadah, dan Malik radhiallahu ‘anhum mengatakan, daripada az-Zuhri, iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala menurunkan azab dari langit, iaitu hujan yang sangat lebat yang menumbangkan semua tanaman dan pepohonannya sehingga kebun itu menjadi tanah yang halus lagi licin, yang tidak ada satu kaki pun yang boleh berdiri tegak di atasnya. Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma mengatakan keadaan tanah lapang yang gersang yang tidak dapat menumbuhkan sesuatu apa pun.

🌄 Ayat 41
*atau airnya menjadi surut ke dalam tanah, maka sekali-kali kamu tidak dapat menemukannya lagi.”*

🗻  Ayat ini bermaksud air surut masuk ke dalam bumi, dan itu berlawanan dengan kaedah biasa iaitu bumi yang mengeluarkan air.

 🍄 Ayat 42 - 44  🍄
Kekafiran membuahkan kesan yang buruk.

 🌄  Ayat 42
*Dan harta kekayaannya dibinasakan, lalu dia membolak-balikkan kedua tangannya (tanda menyesal) terhadap apa yang dia telah belanjakan untuk itu, sedang pohon anggur itu roboh bersama para-paranya dan dia berkata:  "Aduhai kiranya dulu aku tidak mempersekutukan seorang pun dengan Rabbku."*

🗻 Allah befirman: "Dan harta kekayaannya dibinasakan" iaitu seluruh harta kekayaannya. Menurut yang lainnya adalah buah-buahannya. Maksudnya apa yang dulu pernah diperingatkan oleh kawannya, seorang Mukmin, iaitu pengiriman ketentuan (pembinasaan) terhadap kebunnya yang disebabkan oleh kesombongannya dan menjadikan dirinya lupa kepada Allah "Lalu dia membolak-balikkan kedua tangannya (tanda menyesal) terhadap apa yang dia telah belanjakan untuk itu." Qatadah mengatakan menepuk kedua tapak tangannya kerana sayang dan menyesal harta kekayaannya dibinasakan-Nya. "Dan dia berkata: 'Aduhai kiranya dulu aku tidak mempersekutukan seorang pun dengan Rabbku.'"

 🌄 Ayat 43
*Dan tidak ada bagi dia segolongan pun yang menolongnya selain Allah; dan sekali-kali dia tidak dapat membela dirinya,*

🌄 Ayat 44
*Di sana pertolongan itu hanya daripada Allah yang Haq. Dia adalah sebaik-baik Pemberi pahala dan sebaik-baik Pemberi balasan.*

🗻 Maksud firman Allah: "Dan tidak ada bagi dia segolongan pun," ialah daripada keluarga atau keturunan, sebagaimana dulu dia pernah membanggakan diri dengan mereka.

🗻 Manusia tidak akan pernah dapat membela dirinya. Di akhirat pertolongan itu hanya daripada Allah yang Hak. Di sanalah akan ditimpakan azab Allah, sehingga tidak ada yang dapat menyelamatkan diri daripada azab tersebut.

🗻 Di sanalah setiap orang, baik mukmin mahupun kafir kembali kepada Allah dan kepada ketundukan kepada-Nya, jika tertimpa azab seperti firman-firman-Nya:

📖 *_“Maka ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata: ‘Kami beriman hanya kepada Allah saja dan kami kafir kepada sembahan-sembahan yang telah kami persekutukan dengan Allah.'"_*
[Surah Al-Mu'min, 40:84]

📖 *_“Kerajaan yang hak pada hari itu adalah kepunyaan Rabb yang Maha Pemurah. Dan adalah hari itu, satu hari yang penuh kesulitan bagi orang-orang kafir.”_*
[Surah Al-Furqan, 25:26]

🗻 Semua amal perbuatan yang pahalanya berada di tangan Allah adalah lebih baik dan berakhir dengan kesudahan yang terpuji, yang semuanya adalah baik.

🗻 Allah menyatakan: "Dia adalah sebaik-baik Pemberi pahala dan sebaik-baik Pemberi balasan" iaitu pelbagai amal perbuatan yang pahalanya berada di tangan Allah Ta‘ala adalah lebih baik dan berakhir dengan kesudahan yang terpuji, yang semuanya adalah baik.


🍄 Ayat 45 - 46  🍄
Beribadah kepada Allah lebih baik daripada harta dan keturunan yang banyak.

🌄 Ayat 45 
*Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit, maka menjadi subur kerananya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin dan adalah Allah, Maha Kuasa atas segala sesuatu.*

🗻 Perumpamaan kehidupan di dunia iaitu dalam kefanaan dan kehancuran seperti air hujan yang diturunkan dari langit, maka menjadi subur tumbuh-tumbuhan di muka bumi. Setelah itu semuanya menjadi kering yang diterbangkan angin iaitu diporak-porandakan dan diterbangkan ke kanan dan ke kiri kerana Dia Maha Kuasa untuk menjadikan keadaan seperti itu. Ia juga boleh dilihat dalam Surah Yunus 10: 24, Surah Az-Zumar 39: 21 dan Surah Al-Hadid 57: 20.

🗻 Dalam hadis sahih riwayat Muslim disebutkan, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

📚 *_“Dunia ini adalah hijau lagi manis.”_*

🌄  Ayat 46 
*Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.*

🗻 Menghadap kepada-Nya dan meluangkan waktu untuk beribadah kepada-Nya adalah lebih baik daripada kesibukan mencari kekayaan.

🗻 Al-Baqiyat as-Solihat (amalan-amalan kebajikan yang kekal dan soleh) adalah lebih baik pahalanya di sisi Rabb serta lebih baik untuk menjadi harapan.

🗻 Terdapat beberapa pendapat. Menurut Ibnu ‘Abbas, Sa‘id bin Jubair dan beberapa ulama Salaf mengatakan: “Yang dimaksudkan dengan Al-Baqiyat as-Solihat (amal kebajikan yang kekal dan soleh) tersebut adalah solat lima waktu.”

🗻 Sedangkan ‘Ata' bin Abi Rabah dan Sa‘id bin Jubair, daripada Ibnu ‘Abbas, ia adalah kalimah: La ilaha illallahu wa subhana walhamdulillahi wallahu akbar (“Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tidak ada Ilah yang berhak diibadahi kecuali Allah, Allah Maha Besar.”)

🗻 Manakala Amirul Mukminin ‘Uthman bin ‘Affan memahaminya sebagai kalimah: Laa ilaha illallahu wa subhana walhamdulillahi wallahu akbaru wa la haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘adhim (“Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tidak ada Ilah yang berhak diibadahi kecuali Allah, Allah Maha Besar. Dan tidak ada daya dan upaya melainkan hanya pada Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung”).
[Hadis Riwayat Imam Ahmad]

📚 Daripada ‘Imarah bin ‘Abdullah bin Sayyad, daripada Said bin al-Musayyab, dia mengatakan:

*_“Al-Baqiyaat as-Solihat adalah: Laa ilaha illallahu wa subhana walhamdulillahi wallahu akbaru wa laa haula wa la quwwata illa billahi (“Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tidak ada Ilah yang berhak diibadahi kecuali Allah, Allah Maha Besar. Dan tidak ada daya dan upaya melainkan hanya pada Allah”)._*
[Hadis Riwayat Imam Malik]

🗻 Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Abu Hurairah, dia bercerita, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_“Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah. Tiada Ilah (yang berhak diibadahi) selain Allah, dan Allah Maha Besar adalah al-Baqiyaat as-Solihat.”_*

🗻 Ibnu Jarir juga menceritakan, diberitahukan kepadaku daripada Abu Said bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_“Perbanyaklah kalian membaca al-Baqiyat as-Solihat.” Ditanyakan: “Lalu apakah al-Baqiyat as-Solihat itu, ya Rasulallah?” Baginda menjawab: “Iaitu, millah.” Ditanyakan lagi: “Lalu apa yang dimaksud dengan millah itu, ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Iaitu takbir, tahlil, tasbih dan alhamdulillah, serta La haula wa la quwwata illa billah.”_*
[Hadis Riwayat Imam Ahmad]

🗻 ‘Ali bin Abi Talhah pula meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, dia mengatakan: “la adalah zikir kepada Allah berupa ucapan: La Ilaha illallah wallahu Akbar (tiada Ilah yang haq selain Allah, Allah Maha Besar), Subhanallah (Maha Suci Allah), Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) Tabarakallahu (Maha Suci Allah), La haula wa la quwwata illa billah (tiada daya dan upaya melainkan hanya pada Allah), Astaghfirullah (aku memohon ampunan kepada Allah), Sallallahu ‘ala Rasulillah (semoga Allah melimpahkan kesejahteraan kepada Rasulullah), puasa, solat, haji, sedekah, membebaskan budak, jihad, menguhubung silaturrahim, dan semua amal perbuatan baik. Semuanya itu adalah amalan kebajikan yang akan mengekalkan pelakunya di syurga.

🗻 ‘Abdurrahman bin Zaid bin Aslam mengemukakan, “Ia adalah amal perbuatan soleh secara keseluruhan.” Dan yang terakhir ini menjadi pilihan Ibnu Jarir.

🍄 Ayat 47 - 49 🍄
Peristiwa yang mengerikan pada hari kiamat dan perkara-perkara besar di dalamnya.

🌄 Ayat 47
*Dan (ingatlah) akan hari (yang ketika itu) Kami perjalankan gunung-gunung dan kamu akan melihat bumi itu rata dan Kami kumpulkan seluruh manusia, dan tidak Kami tinggalkan seorang pun daripada mereka.*

🗻 Dalam ayat ini Allah menceritakan keadaan hari kiamat yang amat menakutkan dan pelbagai peristiwa besar yang berlaku pada saat itu iaitu gunung-ganang akan lenyap, keadaan bumi akan menjadi sama rata, tidak ada lagi kawasan yang tinggi atau rendah dan tiada lembah atau gunung sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:

📖 *_“Pada hari (ketika) langit bergoncang sekeras-kerasnya dan gunung berjalan (berpindah-pindah)."_*
[Surah At-Tur, 52:9-10]

🗻 Allah akan mengumpulkan generasi terdahulu dan kemudian, tiada yang terkecuali sama ada yang kecil atau yang besar. Sebagaimana yang difirmankan-Nya:

📖 *_“...iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya dan hari yang demikian ialah yang dihadiri oleh sekalian makhluk.”_*
[Surah Hud, 11:103]

🌄 Ayat 48
*Dan mereka akan dibawa ke hadapan Rabbmu dengan berbaris. (Allah berfirman), "Sesungguhnya kamu datang kepada Kami, sebagaimana Kami menciptakan kamu pada kali yang pertama bahkan kamu mengatakan bahawa Kami sekali-kali tidak akan menetapkan bagi kamu waktu (berbangkit untuk memenuhi) perjanjian."*

🗻 Maksud "berbaris" dalam ayat di atas mengandungi dua kemungkinan:

1 Seluruh makhluk akan berdiri di hadapan Allah Taala dalam satu barisan. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

📖 *_“Pada hari ketika ruh dan para malaikat berdiri bersaf-saf, mereka tidak berkata-kata kecuali siapa yang telah diberi izin kepadanya oleh Rabb Yang Maha Pengasih, dan dia hanya mengatakan yang benar.”_*
[Surah An-Naba’, 78:38]

 2 Mereka berdiri dalam beberapa barisan, sebagaimana yang difirmankan-Nya:

📖 *_“Dan datanglah Rabbmu, sedang para malaikat berbaris-baris.”_*
[Surah Al-Fajr, 89:22]

🗻 Ayat ini juga merupakan kecaman terhadap mereka yang mengingkari hari kiamat dan celaan terhadap mereka yang menyaksikan keadaan tersebut.

🌄  Ayat 49
*Dan diletakkanlah kitab (catatan amal), lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya, dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Rabbmu tidak menganiaya seorang pun."*

🗻 Kitab amalan yang di dalamnya tertulis segala perbuatan, daripada yang sekecil-kecil hinggalah sebesar-besarnya, semuanya tercatat dan dijaga dengan rapi. Orang-orang yang berdosa akan berasa takut terhadap amalan buruk mereka semasa di dunia dahulu dan menyesal kerana telah mensia-siakan umur yang telah diberikan oleh Allah Ta‘ala. Firman-Nya:

📖 *_"Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang telah dilalaikannya."_*
[Surah Al-Qiyamah, 75:13]

🗻 Allah akan menetapkan keputusan atau hukuman terhadap hamba-hamba-Nya mengikut amal perbuatan mereka. Dia mengazab sesiapa sahaja yang Dia kehendaki berdasarkan ilmu-Nya. Dia akan memenuhi neraka itu dengan orang-orang kafir dan orang-orang mukmin yang berbuat maksiat. Orang-orang mukmin yang berbuat maksiat akan diselamatkan setelah mendapat seksaan, sedangkan orang-orang kafir akan tetap kekal di dalam neraka. Dia adalah Rabb yang Maha Bijaksana yang tidak melampaui batas dan tidak pula melakukan kezaliman. Firman-Nya:

📖 *_“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walau sebesar zarah pun, dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipatgandakannya.”_*
[Surah An-Nisa’, 4: 40]



 🍄 Ayat 50 🍄
Kisah Nabi Adam ‘alaihis salam dan iblis laknatullah ‘alaih.

🌄  Ayat 50
*Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam,“ maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah daripada golongan jin, maka ia menderhakai perintah Rabbnya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (daripada Allah) bagi orang-orang yang zalim.*

🗻 Allah mengingatkan anak cucu Nabi Adam ‘alaihis salam tentang permusuhan iblis terhadap mereka dan juga terhadap bapa mereka.

🗻 Apabila Allah perintahkan semua malaikat agar sujud kepada Nabi Adam ‘alaihis salam sebagai tanda penghormatan dan kemuliaan, seluruh malaikat telah bersujud kecuali iblis yang mengkhianati kedudukan asalnya. Ia termasuk dalam golongan jin kerana ia diciptakan daripada api. Firman-Nya dalam surah yang lain menunjukkan perakuan oleh iblis tentang kejadiannya:

📖 *_“Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah.”_*
[Surah Al-A‘raf, 7:12]

🗻  Iblis telah menderhakai Allah Ta‘ala dengan keluar daripada ketaatan kepada-Nya. Oleh itu Dia mengecam orang-orang yang mengikutinya dan menjadikannya sebagai pengganti-Nya. Firman-Nya:

📖 *_"Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu, dan hendaklah kamu menyembah Aku. Inilah jalan yang lurus. Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar di antara kamu, maka apakah kamu tidak mengerti?"_*
[Surah Yasin, 36:60-62]

🍄 Ayat 51 - 54 🍄
 Tidak ada sekutu bagi Allah, keadaan orang-orang musyrik pada hari kiamat, dan manusia adalah makhluk yang paling banyak membantah.

🌄  Ayat 51
*Aku tidak menghadirkan mereka (iblis dan anak cucunya) untuk menyaksikan penciptaan langit dan bumi dan tidak (pula) penciptaan diri mereka sendiri dan tidaklah Aku mengambil orang-orang yang menyesatkan itu sebagai penolong.*

🗻 Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyatakan bahawa Dia sendiri yang menciptakan segala sesuatu seluruhnya, yang mengaturnya, dan yang menentukannya. Tiada seorang pun yang menyekutui-Nya dalam hal tersebut, tiada penasihat, dan tiada pula tandingan. Ini disebutkan juga dalam ayat yang lain melalui firman-Nya:

📖 *_"Katakanlah, 'Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai tuhan-tuhan) selain Allah, mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit dan di bumi; dan mereka tidak mempunyai suatu saham pun dalam (penciptaan) langit dan bumi, dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagi-Nya. Dan tiadalah berguna syafaat di sisi Allah melainkan bagi orang yang telah diizinkan-Nya memperoleh syafaat itu......'"_*
[Surah Saba', 34:22-23]

🌄 Ayat 52
*Dan (ingatlah) akan hari (yang ketika itu) Dia berfirman: "Serulah olehmu sekalian sekutu-sekutu-Ku yang kamu katakan itu.” Mereka lalu menyerunya, tetapi sekutu-sekutu itu tidak membalas seruan mereka dan Kami adakan untuk mereka tempat kebinasaan (neraka).*

🗻 Dalam ayat ini Allah Ta‘ala memberitahu tentang apa yang dikatakan kepada kaum musyrik pada hari kiamat di hadapan para saksi. Ini merupakan kecaman dan celaan terhadap mereka. Pada hari itu sekutu-sekutu mereka tidak dapat menyelamatkan mereka daripada penderitaan azab yang dialami. Firman-Nya dalam ayat-ayat yang lain:

📖 *_"Dan sesungguhnya kamu datang kepada Kami sendiri-sendiri sebagaimana kamu Kami ciptakan pada mulanya, dan kamu tinggalkan di belakang kamu (di dunia) apa yang telah Kami kurniakan kepada kamu dan Kami tidak melihat beserta kamu pemberi syafaat yang kamu anggap bahawa mereka itu sekutu-sekutu Tuhan di antara kamu. Sungguh telah terputuslah (pertalian) antara kamu dan telah lenyap dari kamu apa yang dahulu kamu anggap (sebagai sekutu Allah)."_*
[Surah Al-An‘am, 6:94]

📖 *_"Dikatakan (kepada mereka), 'Serulah oleh kamu sekutu-sekutu kamu,' lalu mereka menyerunya, maka sekutu-sekutu itu tidak memperkenankan (seruan) mereka....'"_*
[Surah Al-Qasas, 28:64]

🗻 Firman Allah: "dan Kami adakan untuk mereka tempat kebinasaan (neraka)," Ibnu ‘Abbas dan Qatadah radhiallahu ‘anhum serta lain-lainnya mengatakan maksudnya ialah tempat kebinasaan, iaitu tiada jalan yang boleh menghantarkan orang-orang musyrik kepada ilah-ilah yang mereka sembah ketika di dunia dahulu. Allah memisahkan mereka di akhirat sehingga tidak ada jalan bagi masing-masingnya untuk menyelamatkan satu dengan lainnya.

🗻 ‘Abdullah bin ‘Amr radhiallahu ‘anhu menyatakan maksud 'bainahum' dalam ayat ini jika dikembalikan kepada orang-orang mukmin dan orang-orang kafir, bermaksud bahawa Allah memisahkan antara orang-orang yang mendapat petunjuk dan orang-orang yang sesat sebagaimana firman-firman-Nya dalam ayat daripada Surah Ar-Rum 30: 14 dan 43, Yasin 36: 59, dan Surah Yunus 10: 28 dan 30.

🌄 Ayat 53
*Dan orang-orang yang berdosa melihat neraka, maka mereka meyakini bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak menemukan tempat berpaling daripadanya.*

🗻 Pada saat mereka menyaksikan neraka Jahannam iaitu ketika mereka diseret yang terdiri daripada tujuh puluh ribu golongan, setiap tujuh puluh ribu golongan terdapat tujuh puluh ribu malaikat yang menyeretnya, mereka merasa yakin dan pasti bahawa diri mereka pasti dijatuhkan ke dalam neraka. Hal tersebut dimaksudkan sebagai kesusahan dan kesedihan buat mereka sebelum mereka menerima azabnya. Ini kerana sesungguhnya rasa takut sebelum menerima azab merupakan seksaan lain yang sangat mengerikan.

🗻 Tiada jalan bagi mereka untuk mengelakkan diri dari neraka itu dan mereka pasti akan merasainya.

🌄 Ayat 54
*Dan sesungguhnya Kami telah mengulang-ulangi bagi manusia dalam Al-Qur'an ini bermacam-macam perumpamaan. Dan manusia adalah makhluk yang paling banyak membantah.*

🗻 Allah Ta‘ala menjelaskan dan menerangkan di dalam Al-Qur'an pelbagai perkara secara terperinci, agar mereka tidak tersesat daripada kebenaran dan tidak terkeluar dari jalan petunjuk. Namun, manusia itu banyak membantah, suka mempertikaikan perkara yang hak dengan mengikuti perkara yang batil, kecuali orang-orang yang diberikan petunjuk oleh Allah, dan diperlihatkan kepada mereka jalan yang selamat.

🗻 Imam Ahmad mengatakan, ‘Ali bin Abu Talib radhiallahu ‘anhu pernah memberitahunya bahawa pada suatu malam Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah mengetuk pintu rumahnya, ketika itu dia beserta isterinya Fatimah binti Rasulullah. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Tidakkah kamu berdua mengerjakan solat (sunat)?" Lalu aku berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya jiwa kami berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Maka apabila Dia menghendaki kami bangun, tentulah kami bangun." (‘Ali radhiallahu ‘anhu berkata), Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam berlalu ketika aku mengucapkan jawapan itu, tanpa menjawab perkataanku walau sepatah kata pun. Kemudian aku mendengar baginda menepuk pahanya sambil membacakan firman-Nya: 'Dan manusia adalah makhluk yang paling banyak membantah' [Al-Kahfi: 54]"_*
[Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab as-Sahihain]

🍄 Ayat 55 - 56 🍄
 Penjelasan tentang penentangan orang-orang kafir.

🌄 Ayat 55
*Dan tidak ada sesuatu pun yang menghalangi manusia daripada beriman, ketika petunjuk telah datang kepada mereka, dan memohon ampun kepada Rabbnya, kecuali (keinginan menanti) datangnya hukum (Allah yang telah berlaku pada) umat-umat yang dahulu atau datangnya azab atas mereka dengan nyata.*

🗻 Allah memberitahu tentang keingkaran orang-orang kafir pada zaman dahulu dan pendustaan orang-orang dahulu terhadap kebenaran yang sudah nyata. Tidak ada sesuatu pun yang menghalangi mereka untuk mengikuti yang demikian itu melainkan permintaan mereka untuk dapat menyaksikan secara langsung azab yang telah dijanjikan kepada mereka, sebagaimana yang mereka katakan kepada Nabi mereka:

📖 *_“Maka jatuhkanlah kepada kami gumpalan dari langit, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.”_*
[Surah Asy-Syu‘ara', 26:187]

🌄 Ayat 56
*Dan tidaklah Kami mengutus para rasul melainkan sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan tetapi orang-orang yang kafir membantah dengan yang batil agar dengan demikian mereka dapat melenyapkan yang hak, dan mereka menganggap ayat-ayat Kami dan peringatan-peringatan terhadap mereka sebagai olok-olok.*

🗻 Allah mengutuskan para rasul sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan sebelum didatangkan azab. Para Rasul menyampaikan khabar gembira kepada orang-orang yang membenarkan dan beriman dan memberikan peringatan kepada orang-orang yang mendustakan dan menentang mereka.

🗻 Setelah itu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menceritakan tentang orang-orang kafir yang membantah perkara-perkara yang hak dengan yang batil agar mereka dapat melemahkan kebenaran yang dibawa oleh para Rasul, namun hal itu tidak pernah akan tercapai.



 🍄Ayat 57 - 59 🍄
Allah menutup pintu hati orang-orang kafir disebabkan kekufuran mereka dan Dia Maha Pengampun memberikan tempoh untuk mereka bertaubat sebelum ditimpakan kebinasaan.

🌄  Ayat 57
*Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat daripada Rabbnya lalu dia berpaling daripadanya dan melupakan apa yang dikerjakan oleh kedua tangannya? Sesungguhnya Kami telah meletakkan tutupan di atas hati mereka, (sehingga mereka tidak) memahaminya, dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka dan meskipun kamu menyeru mereka kepada petunjuk, nescaya mereka tidak akan mendapat petunjuk selama-lamanya.*

🗻 Hamba-hamba Allah yang paling zalim ialah orang-orang yang telah diberikan peringatan melalui ayat-ayat Allah Ta‘ala, lalu dia berpaling daripadanya, iaitu melupakannya serta tidak mendengarkannya dan tidak memberikan perhatian terhadapnya. Itu merupakan perbuatan keji dan buruk.

🌄 Ayat 58
*Dan Rabbmulah Yang Maha Pengampun, lagi mempunyai rahmat. Jika Dia mengazab mereka kerana perbuatan mereka, tentu Dia akan menyegerakan azab bagi mereka. Tetapi bagi mereka ada waktu yang tertentu (untuk mendapat azab) yang mereka sekali-kali tidak akan menemukan tempat berlindung daripadanya.*

🗻 Allah Ta‘ala memberitahu bahawa Dia Maha Pengampun lagi mempunyai rahmat yang luas. Firman-Nya:

📖 *_“Dan sekiranya Allah menyeksa manusia disebabkan usahanya, nescaya Dia tidak akan meninggalkan di atas permukaan bumi ini suatu makhluk yang melata pun.”_*
[Surah Fatir, 35:45]

🗻 Kemudian Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberitahu bahawa Dia mengasihi, menutupi, serta memberikan keampunan, dan mungkin Dia akan berikan petunjuk kepada sebahagian mereka daripada tergelincir lalu menuju ke jalan yang lurus. Sesiapa yang masih terus-menerus dalam kesesatan, maka dia akan memperoleh (azab) pada hari kiamat.

🗻 Mereka yang kufur tidak akan mendapat tempat berlindung dan menghindarkan diri mereka daripada kebinasaan.

🌄  Ayat 59
*Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan ketika mereka berbuat zalim, dan telah Kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka.*

🗻  Umat-umat terdahulu dan generasi-generasi yang telah berlalu telah Allah binasakan, disebabkan oleh kekufuran dan keingkaran mereka.

🗻 “Dan Kami telah tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka” bermaksud Kami jadikan kebinasaan itu pada waktu yang ditentukan, tidak dipercepatkan atau dilambatkan.

🍄 Ayat 60 - 61 🍄
Kisah Nabi Musa ‘alaihis salam dan pembantunya.

🌄  Ayat 60
*Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada pemuda yang bersamanya: "Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun."*

🗻 Al-Bukhari meriwayatkan daripada Sa‘id bin Jubair, dia mengatakan, "Aku berkata kepada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma, Nauf al-Bikali menduga bahawa Musa dalam kisah Nabi Khidir ‘alaihi salam bukanlah Musa, nabi kepada Bani Israil." Maka Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma berkata, "Apa yang dikatakannya tidak benar, Ubay Ibnu Ka‘ab radhiallahu ‘anhum mengatakan  kepada kami bahawa beliau mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata:

📚 *_"Musa ‘alaihis salam berdiri untuk menyampaikan khutbah kepada Bani Israil, lalu baginda ditanya: 'Siapakah manusia yang paling alim?' Dia (Musa) menjawab, 'Aku.' Maka Allah pun langsung menegurnya, sebab baginda belum tahu tentang hal itu (siapa yang paling alim). Lalu Allah memberikan wahyu kepadanya, 'Aku memiliki seorang hamba yang berada di pertemuan dua laut, dia lebih berilmu daripada kamu.' Musa berkata, 'Ya Rabbku, bagaimana aku dapat menemuinya?' Allah berfirman, 'Bawalah ikan, lalu letakkan di dalam bekas. Maka di mana pun ikan itu menghilang, maka dia (hamba-Ku) berada di sana.'"_*

🗻  Nabi Musa ‘alaihis salam menyatakan hal ini kepada pembantunya, sekali gus merupakan muridnya yang bernama Yusya' bin Nun. Baginda akan tetap menempuh perjalanan ke tempat yang terdapat pertemuan dua laut walaupun hingga beberapa tahun.

🌄 Ayat 6 1
*Maka ketika mereka sampai di pertemuan dua buah laut itu, mereka lalai akan ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu.*

🗻 Kedua-duanya berjalan hingga sampailah di tempat bertemunya dua laut, di tempat itu terdapat sebuah mata air. Di tempat itu, mereka berdua tertidur. Ikan yang mereka bawa itu telah terkena percikan mata air tersebut, maka ia bergerak hidup kembali dan melompat ke dalam laut.

 🗻 Imam Bukhari meriwayatkan, "Nabi Musa ‘alaihis salam pun keluar disertai pembantunya, Yusya' bin Nun, sambil membawa ikan. Ketika telah sampai ke batu besar, kedua-duanya singgah di situ. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Di bahagian bawah batu itu terdapat mata air yang bernama 'mata air kehidupan.' Tidak ada sesuatu pun yang terkena airnya, melainkan ia akan hidup. Ikan itu pun terkena air dari mata air tersebut, sehingga bergerak-gerak dan meluncur daripada bekas, masuk ke dalam laut. Apabila terbangun, Musa berkata kepada pembantunya, 'Bawalah ke mari makanan kita.'_*

🗻 Pembantu itu terjaga, tetapi ikan itu telah terjatuh ke dalam laut. Jejak ikan dalam air itu membentuk suatu terowong, kerana air yang ditembus ikan itu tidak menyatu kembali. Muhammad Ibnu Ishaq meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma, daripada Ubay Ibnu Ka‘ab radhiallahu ‘anhu, dia mengatakan, ketika disebutkan tentang kejadian itu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Air tidak pernah membentuk lubang sejak manusia berada, kecuali air bekas ikan (Nabi Musa ‘alaihis salam) itu. Tempat berjalannya ikan itu tetap utuh pada air itu, dilubangi seperti terowong, hingga Nabi Musa ‘alaihis salam kembali, lalu melihat tempat bekas laluan ikan itu, lalu baginda berkata, 'Itulah (tempat) yang kita cari.'"_*



🍄 Ayat 71 - 73 🍄
Kisah Nabi Khidir ‘alaihis salam melubangkan perahu.

🌄  Ayat 71
*Maka berjalanlah keduanya, hingga tatkala keduanya menaiki perahu lalu Khidir melubanginya. Musa berkata: "Mengapa kamu melubangi perahu itu yang akibatnya kamu menenggelamkan penumpangnya. Sesungguhnya kamu telah berbuat kesalahan yang besar."*

🗻 Setelah mendapat persepakatan, Nabi Musa dan Nabi Khidir ‘alaihimus salam memulai perjalanan mereka dengan menaiki perahu. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Sa‘id bin Jubair, daripada Ibnu ‘Abbas daripada Ubay Ibnu Ka‘ab radhiallahu ‘anhum, bahawa dia mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Kedua-duanya pun pergi dengan berjalan kaki di pantai, lalu melintasi sebuah perahu. Mereka pun berbicara kepada para pemilik perahu agar bersedia membawa mereka. Pemilik perahu tersebut mengenali Nabi Khidir ‘alaihis salam dan bersetuju membawa mereka berdua tanpa dikenakan sebarang bayaran. Ketika mereka berlayar, tiada kejadian yang mengejutkan sehingga Nabi Khidir ‘alaihis salam mencabut salah satu papan (perahu itu) dengan kapak. Nabi Musa ‘alaihis salam berkata: 'Mereka telah membawa kita tanpa dikenakan sebarang bayaran, apakah kamu sengaja merosakkan perahu mereka hingga berlubang untuk menenggelamkan penumpangnya? Kamu benar-benar telah melakukan kesalahan yang besar.'"_*

🗻 Mujahid mengatakan perbuatan Nabi Khidir ‘alaihis salam melubangi perahu itu merupakan perbuatan mungkar menurut pandangan Nabi Musa ‘alaihis salam. Qatadah pula mengatakan Nabi Musa ‘alaihis salam berasa hairan terhadap tindakan Nabi Khidir ‘alaihis salam.

🌄  Ayat 72
*Dia (Khidir) berkata: "Bukankah aku telah berkata: 'Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku.'"*

🌄 Ayat 73
*Musa berkata: "Janganlah kamu menghukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku."*

🗻 Nabi Khidir ‘alaihis salam mengingatkan Nabi Musa ‘alaihis salam tentang syarat yang telah dinyatakannya. Lalu Nabi Musa ‘alaihis salam merayu agar Nabi Khidir ‘alaihis salam tidak berasa kesal dan bersikap keras terhadap baginda.

🗻 Sambungan daripada hadis di atas, Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma,  bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Pembantahan Musa yang pertama ini dilakukannya kerana lupa."_* Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam melanjutkan:

📚 *_"Lalu datang burung pipit dan hinggap di hujung perahu. Burung itu lantas mematuk ke dalam laut satu atau dua kali patukan. Khidir berkata kepadanya, 'Tidaklah ilmuku dan ilmumu dibanding dengan ilmu Allah, melainkan seperti air yang diambil oleh paruh burung itu dari laut.'"_*

🍄 Ayat 74 - 76 🍄
Kisah pembunuhan anak.

 🌄  Ayat 74
*Maka berjalanlah keduanya, hingga tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak, maka Khidir membunuhnya. Musa berkata: "Mengapa kamu bunuh jiwa yang bersih, bukan kerana dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu yang mungkar."*

🗻 Apabila Nabi Musa ‘alaihis salam menyaksikan kejadian itu, baginda menegur dengan lebih tegas daripada kejadian yang pertama dan terus menyanggahnya. Baginda menyatakan kanak-kanak yang dibunuh oleh Nabi Khidir ‘alaihis salam masih kecil dan tidak melakukan kesalahan serta tidak berdosa. Perkara ini tidak mempunyai asas yang dibenarkan untuk membunuhnya. Oleh itu sangat jelas kemungkarannya.

🗻 Imam Bukhari meriwayatkan hadis daripada Sa‘id bin Jubair, daripada Ibnu 'Abbas, daripada Ubay Ibnu Ka‘ab radhiallahu ‘anhum, dia mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

📚 *_"Kemudian kedua-duanya keluar daripada perahu. Ketika kedua-duanya berjalan di pantai, tiba-tiba Khidir melihat seorang kanak-kanak yang sedang bermain bersama dengan kanak-kanak yang lain. Khidir terus menyentap kepalanya dan memulas lehernya dengan tangannya hingga mati._*
(Sambungan daripada hadis dalam pengajaran ayat yang lepas)

🔹🔹🔹JUZ 16 🔹🔹🔹

🌄  Ayat 75
*Khidir berkata: "Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya kamu tidak akan dapat sabar bersamaku."*

 🌄  Ayat 76
*Musa berkata: "Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu sesudah (kali) ini, maka janganlah kamu membenarkan aku menyertaimu, sesungguhnya kamu sudah cukup memberikan uzur kepadaku."*

🗻 Nabi Khidir ‘alaihis salam tetap mengingatkan Nabi Musa ‘alaihis salam tentang syaratnya.

🗻 Nabi Musa ‘alaihis salam pula berkata sekiranya selepas ini baginda masih lagi menyanggah apa sahaja perbuatan Nabi Khidir ‘alaihis salam, Nabi Khidir ‘alaihis salam berhak untuk tidak menerima alasannya lagi.

🗻 Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, daripada Ubay bin Ka‘ab radhiallahu ‘anhum, dia mengatakan, "Jika Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menyebutkan untuk mendoakannya, baginda memulai dengan mendoakan dirinya. Pada suatu hari baginda berdoa:

📚 *_"(Semoga) rahmat Allah Ta‘ala terlimpah kepada kita dan kepada Musa. Seandainya dia tetap bersama dengan sahabatnya (Khidir), nescaya dia melihat keajaiban. Tetapi dia berkata, 'Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu setelah ini, maka jangan lagi engkau membenarkan aku menyertaimu, sesungguhnya engkau sudah cukup (bersabar) menerima alasan daripadaku.'"_*

🍄 Ayat 77 - 78 🍄
Kisah penegakkan dinding.

🌄  Ayat 77
*Maka keduanya berjalan, hingga ketika keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka berdua meminta dijamu oleh penduduknya, tetapi mereka (penduduk negeri itu) tidak mahu menjamu mereka, kemudian keduanya mendapati dinding rumah yang hampir roboh, maka dia (Khidir) menegakkannya. Dia (Musa) berkata: "Jikalau kamu mahu, nescaya kamu dapat meminta imbalan untuk itu."*

🗻 Selepas kedua-dua kejadian di atas, Nabi Khidir dan Nabi Musa ‘alaihimus salam meneruskan perjalanan mereka hingga sampai ke suatu negeri. Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Sirin bahawa negeri itu ialah negeri Ailah. Dalam hadis Imam Ahmad, "Hingga ketika keduanya sampai kepada penduduk negeri yang bakhil."

🗻 Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi Khidir ‘alaihis salam mengembalikan dan menampung dinding yang hampir roboh itu dengan kedua-dua belah tangannya sehingga kembali tegak. Ini merupakan kejadian yang luar biasa.

🗻 Apabila melihat kejadian itu, Nabi Musa ‘alaihis salam mencadangkan Nabi Khidir ‘alaihis salam mengambil upah melalui apa yang dilakukan oleh Nabi Khidir ‘alaihis salam. Ini kerana penduduk negeri itu tidak mahu menerima kedatangan mereka sebagai tetamu dan Nabi Khidir ‘alaihis salam tidak perlu membetulkan dinding tersebut.

🌄 Ayat 78
*Khidir berkata: "Inilah perpisahan antara aku dengan kamu, kelak akan aku beritahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya."*

🗻 Nabi Khidir ‘alaihis salam mengingatkan kepada Nabi Musa ‘alaihis salam tentang syarat yang telah ditentukan oleh baginda sendiri iaitu sekiranya baginda bertanya lagi selepas ini, baginda tidak lagi dibolehkan menyertai Nabi Khidir ‘alaihis salam seterusnya. Hal ini merupakan perpisahan antara mereka berdua.

Allahu a‘lam.


🌄🗻🌄🗻🌄🗻🌄🗻🌄