disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Khamis, 22 Januari 2015

Mufti Kelantan Pertama - Haji Nik Wan Daud bin Haji Wan Sulaiman (1893M-1907M)

Mufti Kelantan Pertama - Haji Nik Wan Daud bin Haji Wan Sulaiman (1893M-1907M)

Latar Belakang Diri dan Pendidikan:
Haji Nik Wan Daud bin Haji Wan Sulaiman dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1854M bersamaan 1271H dan beliau bersaudara dengan Tok Khatib Haji Wan Omar atau Nik Mar. Datuk sebelah bapanya iaitu Haji Wan Othman adalah orang Fakeh Ali yang terkenal dalam sejarah nusantara dan datuk sebelah ibunya pula adalah Pak Wan Mahmud Menteri merupakan seorang pembesar negeri pada zaman Sultan Mahmud I. Beliau sezaman dengan Tok Imam Haji Cik Samad Kampung Laut, Tok Khatib Haji Muhammad Said (Dato' Seri Di Raja), Tok Kemuning Tua (Haji Senik), Haji Senik Seligi dan Haji Daud Kampung Menuang. Beliau juga rapat dengan Syeikh Salleh Amin dari Bahrin yang menetap di Pasir Mukarramah dan beliau seangkatan dengan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani.
Beliau seorang yang pakar dan alim dalam bidang ilmu fekah dan hadis di mana kuliah mingguannya pada setiap hari Selasa telah mendapat sambutan hangat daripada masyarakat. Beliau juga dikatakan suka menyembelih dan makan daging kuda serta suka melakukan aktiviti berkelah bersama-sama isteri dan anak-anak sehingga seminggu lamanya. Tempat yang selalu dikunjungi oleh beliau dan keluarga adalah di teratak peranginan di Kampung Tok Lukok berhampiran Pantai Sabak, Kota Bharu, Kelantan.

Sumbangan dan Khidmat Masyarakat:
Beliau telah mewakili Sultan Mansur untuk membeli rumah putih milik Syeikh Muhammad Salleh al-Kurdi di Mekah pada 12 Safar 1312H (14 Ogos 1894) untuk dijadikan sebagai rumah wakaf kepada anak-anak Kelantan yang belajar di sana dan juga yang mengunjunginya. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan pemerintah ketika itu, sebagai contoh beliau menjemput Sultan Mansur, Tengku Seri Indera, kerabat dan anak-anak raja bersantap pada 1 November 1897 ke Kampung Atas Banggul, Kota Bharu sempena majlis berkhatan anaknya (pada masa tersebut dipanggil jawi). Khidmat yang seterusnya dicurahkan oleh beliau adalah pada 9 Jun 1900 apabila beliau turut mengiringi Raja Kelantan yang kemudian bergelar Sultan Muhammad ke-IV pergi ke Bangkok, Thailand dan kemudian kembali semula pada 10 Ogos 1900. Semasa zaman pemerintahan tersebut iaitu semasa beliau memegang jawatan mufti, terdapat jawatan nazir yang dilantik untuk membuang panji-panji yang dipacak di tempat-tempat keramat pemujaan.
Kesihatan beliau agak terganggu kerana mengalami sakit sengal sendi (gout) daripada kaki ke bahagian anggota atas serta mengalami masalah demam pada pertengahan tahun 1906. Masalah kesihatan beliau berlarutan dan mengalami sakit tenat bermula 12 Ramadhan 1325 (20 Oktober 1907) dan beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada 29 Ramadhan 1325H (4 November 1907) ketika berusia 54 tahun. Beliau masih memegang jawatan sebagai mufti dan juga Imam Tua Masjid Besar Kota Bharu semasa meninggal dunia. Beliau kemudian telah dikebumikan pada hari berikutnya di Kubur Banggul, Kota Bharu dan jenazahnya telah diziarahi oleh Sultan Muhammad IV dan Raja Muda Tengku Zainal Abidin bin Tengku Kundor.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.